Rosliza Mohamed


LEHER suri rumah calar selepas penjenayah merentap rantai leher dipakainya dalam kejadian samun di Kampung Sokor, Kok Lanas, Kota Bharu, semalam.

Pada kejadian 12.30 tengah hari itu, dua suspek lelaki sempat melarikan rantai emas dan wang tunai milik wanita berkenaan, menyebabkan mangsa kerugian RM4,050.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, ketika kejadian, wanita berusia 57 tahun itu bersendirian di rumah kerana suami dan dua anaknya keluar bekerja.

“Ketika berada di dapur, secara tiba-tiba datang seorang lelaki tidak dikenali dari arah belakang merentap rantai emas yang dipakai mangsa sehingga putus.

"Suspek turut mengambil wang tunai RM50 dan anggaran kerugian adalah RM4,050.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal ditunggang seorang rakan lelaki," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kok Lanas, pada 3 petang.

Ismail berkata, siasatan awal mendapati suspek masuk ke dalam rumah menerusi pintu utama yang tidak berkunci.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan mangsa, suspek berusia 20-an, berbadan kurus dan tinggi serta berkulit gelap.

“Polis giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 3:06 PM