ANGGOTA Pasukan Empat Rejimen Sempadan (4RS) bersama 16 bungkus daun ketum seberat 157 kilogram yang ditemui berhampiran Pos Sahara, Durian Burung, Padang Terap, hari ini. FOTO Ihsan ATM
Nooazura Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mematahkan cubaan menyeludup 157 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM14,000 berhampiran Pos Sahara, Durian Burung, Padang Terap, hari ini.

Panglima Enam Briged Brigadier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, rampasan itu dilakukan oleh pasukan Empat Rejimen Sempadan (4RS) ketika melakukan rondaan di kawasan berkenaan jam 10 pagi.

“Semasa rondaan diketuai oleh Koperal Alfredy AK Ronnie bersama tiga anggota menemui 16 bungkusan plastik hitam yang disembunyikan di dalam semak.

“Selepas diperiksa, terdapat daun ketum diikat dan dibalut dengan plastik lutsinar. Bungkusan itu dipercayai ditinggalkan di kawasan terbabit pada waktu awal pagi sebelum diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz berkata, penyeludupan daun ketum ke negara jiran masih aktif berikutan harga pasaran dan mendapat permintaan tinggi.

Katanya, bahan rampasan terbabit kemudian diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 7:39 PM