TOMMY Thomas. FOTO Arkib NSTP
Suhaila Shahrul Annuar


PEGUAM Negara Tommy Thomas menarik diri dalam semua pertimbangan dan tidak akan terbabit dalam keputusan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara ke atas kes pendakwaan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Peguam Cara Negara Datuk Engku Nor Faizah Engku Etek dan Peguam Cara Negara II Datin Paduka Zauyah Be T Loth Khan dalam satu kenyataan bersama berkata, disebabkan kes berkenaan mendapat publisiti meluas, pihaknya memaklumkan Peguam Negara sendiri menarik diri dalam semua pertimbangan mengenai kes itu.

Kenyataan itu turut menyebut, banyak maklumat salah tersebar berkaitan peranan Peguam Negara dalam hal membuat keputusan jabatan berkaitan perkara yang membabitkannya sebelum ini dan sehubungan itu penjelasan diperlukan untuk perkara itu.

Kenyataan itu memaklumkan, apabila Peguam Negara memulakan tugas, beliau mengumumkan menerima prinsip konflik kepentingan yang terpakai ke atasnya.

“Jadi mengambil kira kepentingan pelanggan yang diwakili sebelum ini, kedudukan Peguam Negara terikat kepada dua kaedah sedia ada dalam undang-undang bagi menyelesaikan keadaan ini.

“Kaedah pertama adalah bagi kes yang membabitkan beliau atas dasar peribadi sebagai peguam dan sebagai rakan, Peguam Negara akan dengan sendirinya menarik diri. Keputusan dengan itu akan diambil secara bersama dan perbincangan akan diadakan dengan pegawai kanan lain di jabatan ini sebelum sesuatu keputusan dibuat.

“Kaedah kedua, apabila Peguam Negara menentukan bahawa beliau tidak perlu menarik diri, beliau akan mengisytiharkan kepentingannya kepada anggota lain dalam pasukan yang membuat keputusan, yang kepentingannya itu direkodkan. (Beliau akan terbabit sebagai anggota pasukan bagi hal itu),” kata kenyataan berkenaan.

Sebelum ini, pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara dipertikai beberapa pihak kerana pernah menjadi peguam kepada Guan Eng.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 30 Julai lalu memberi masa sehingga 3 September depan kepada Pejabat Peguam Negara sama ada untuk menggugurkan tuduhan atau meneruskan perbicaraan kes rasuah dihadapi Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di Pulau Pinang, di bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 7:48 PM