PENYELIA Operasi Ferry line Venture Kuala Kedah, Ahmad Azizan Aziz membantu pelanggan mengisi nama di komputer yang disediakan.
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Masih ramai penumpang feri terutama rakyat tempatan dikesan tidak mendaftar butiran diri sebagai penumpang sewaktu menggunakan pengangkutan laut itu.

Pengurus Operasi Ferry Line Ventures, Leftenan TLDM (B) Baharin Baharom, berkata sikap ambil mudah ini akan menyebabkan proses menyelamat dan tuntutan insurans menjadi sukar, jika berlaku kecelakaan.

Katanya, berdasarkan rekod, secara purata lebih 20,000 penumpang menggunakan perkhidmatan feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Langkawi sehari.

“Pelancong asing lebih bertanggungjawab mendaftar nama berbanding penumpang tempatan.

“Daripada 20,000 penumpang sehari, tidak sampai 2,000 atau kira-kira 10 peratus sahaja yang mendaftar nama.

“Mengikut undang-undang Jabatan Laut Malaysia mengikut Seksyen 233, Ordinan 1952, setiap penumpang diwajibkan mendaftar nama bagi memudahkan mereka membuat tuntutan insuran atau mengenal pasti jumlah penumpang jika berlaku kecelakaan di laut,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Baharin berkata, pihaknya ada menyediakan buku log dan komputer di kaunter tiket untuk penumpang menulis butiran diri, namun malangnya ramai yang tidak berbuat demikian.

Malah, katanya, sekiranya ada penumpang tempatan mengisi butiran diri, mereka hanya menulis nama ringkas menyebabkan pihaknya sukar membuat semakan.

Sementara itu tinjauan NSTP di Terminal Feri Kuala Kedah mendapati ramai penumpang tidak menulis butiran diri di komputer yang disediakan.

Antara alasan yang kerap digunakan penumpang adalah tidak tahu, malah ada yang memberi alasan terpaksa bergegas kerana mahu cepat.

Namun, bagi penumpang, Syukur Nikmat Baharom, 35, berkata dia sedia maklum mengenai keperluan mengisi daftar diri berkenaan.

“Selalunya di kaunter ada satu buku untuk pendaftaran nama, kita perlu tulis nama dan nombor kad pengenalan, ia memudahkan kalau berlaku apa apa kejadian.

“Saya sendiri jarang tulis, mungkin perlu ada penguatkuasaan barulah orang ramai akan menulis atau mengisi nama,” katanya.

Setiap hari terdapat 28 trip perjalanan dua hala dari Kuala Perlis ke Langkawi, manakala terdapat 24 trip perjalanan dua hala dari Kuala Kedah ke Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 11:35 AM