GAMBAR hiasan
Farah Marshita Abdul Patah


DUA sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini, atas tuduhan menyamar sebagai anggota polis terhadap seorang lelaki warga Bangladesh, bulan lalu.

Wan Azizul Wan Ab Ghani, 30, pemandu lori dan Mazli Mohamad, 36, buruh binaan, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Wan Azizul dan Mazli didakwa menyamar sebagai anggota polis terhadap pekerja pembinaan, Md Alamin Mondal, warga Bangladesh di tapak projek Astroria, Hulu Kelang, di Ampang, jam 4.30 petang, pada 20 Julai lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Ilyana Zainal menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, Wan Azizul dan Mazli yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya, memohon dikurangkan jaminan atas alasan masing-masing mempunyai tiga anak dan perlu menyara keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh, masing-masing diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 September ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 5:10 PM