MOHD Rawi (kiri) melihat Muhammad Aidil melakukan rawatan mencuci buah pinggang di rumah keluarganya di Taman Malcop, Silibin.
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Remaja lelaki hidap sakit buah pinggang, Muhammad Aidil Adha Muhammad Rizal, 14, belum menemui penderma bersesuaian bagi menggantikan buah pinggangnya yang rosak.

Ibunya, Aida Ghazali, 39, berkata, keadaan kesihatan anaknya itu yang semakin merosot setiap hari dan terpaksa mengambil 10 jenis ubat dan 40 pil setiap hari.

“Saya bimbang kerana Aidil sudah mula tidak mahu makan ubat sekarang, doktor memberitahu keadaan itu boleh mengakibatkan Aidil diserang sawan,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak Mohd Rawi Abdullah di rumahnya di Taman Malcop, Silibin, di sini, semalam.

Ibu tunggal berkenaan berkata, dia kini mengalami masalah kewangan termasuk sewa rumah tertunggak selama dua bulan, selain berhutang kos rawatan mencuci buah pinggang dengan pihak hospital hampir RM3,000.

“Terus terang saya tidak mampu, sekiranya ada yang membantu boleh saya membayar sewa rumah, minyak motosikal dan kos ke hospital,” katanya.

Pada 6 Julai lalu dilaporkan penderitaan Aidil yang tidak seperti insan lain yang bebas menjalani kehidupan dan aktiviti seharian kerana sakit buah pinggang selama 13 tahun.

Aidil disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak berusia setahun setengah dan terpaksa menelan pelbagai jenis ubat, selain perlu membuat rawatan mencuci buah pinggang setiap minggu.

Sementara itu, Mohd Rawi berkata, pihaknya akan membantu mencari bantuan bersesuaian dan mendapatkan dana untuk menampung perbelanjaan bulanan keluarga berkenaan.

“Aidil juga sangat memerlukan penderma buah pinggang bagi menggantikan kedua-dua buah pinggang yang rosak.

“Orang ramai yang ingin membantu atau menjadi penderma bolh menghubunginya talian 016-5546655,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 4:52 AM