SEBAHAGIAN pengunjung melihat pameran perumahan ketika Pameran Hartanah MyRumah 2018 Siri Ketiga anjuran NSTP di Komtar JBCC, Johor Bahru. FOTO/MOHD AZREN JAMALUDIN
Mohd Fahmi Mohd Yusof


HARI kedua pameran hartanah MyRumah 2018 anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Komtar JBCC, Johor Bahru, menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.

Lima sesi ceramah diadakan dalam pameran bermula jam 10 pagi hingga 10 malam itu membariskan penceramah jemputan dengan pelbagai topik menarik untuk orang ramai mendapatkan ilmu serta maklumat.

Aktiviti dimulakan dengan ceramah yang disampaikan Pengasas Mamy Home, Amin Yusoff dengan tajuk ‘renovasi untuk rumah pelaburan’ pada jam 11 pagi.

Sesi ceramah diteruskan pada jam 2 petang oleh wakil Amacc Corporate Services Sdn Bhd, Amsyari Shakur dengan topik ‘cukai dalam hartanah: Cara untuk jimat cukai dengan betul’.

Penceramah ketiga ialah wakil dari Bank Muamalat [email protected] yang membincangkan topik ‘jangan biarkan bank menghalang kehendak anda memiliki rumah’ pada 3 petang.

Dua lagi sesi ceramah akan dikendalikan oleh wakil dari Amanah Raya Berhad, Hidayat Fitri Abdul Kadir dan Pengurus Besar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Johor, Muhammad Faizal Adnan.

Selain sesi ceramah, orang ramai juga boleh menyertai pelbagai aktiviti keluarga dan santai yang diadakan di pentas dua di ruang legar Komtar JBCC.

MyRumah Johor Bahru selama tiga hari bermula semalam dirasmikan wakil Menteri Besar Johor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad.

Pameran buat kali ketiga berturut-turut di Komtar JBCC itu menyaksikan tujuh pemaju dan empat syarikat bukan pemaju menyertainya dengan lebih 500 unit kediaman ditawarkan untuk jualan.

Tujuh pemaju yang mengambil bahagian ialah Pulai Springs Resort Berhad, Bukit Pelali, Eco Tropics Sdn Bhd, Uda Land, Johor Land Berhad, Hua Yang Berhad dan Sunway Iskandar Sdn Bhd.

Empat pempamer bukan pemaju yang terbabit dengan program itu adalah Amanah Raya Berhad, Bank Muamalat, PTPTN dan Takaful Ikhlas Berhad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 2:38 PM