Petugas SPR di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Andalas menutup pintu pagar tepat jam 5.30 petang. FOTO Osman Adnan
BERNAMA

PROSES pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hari ini tamat selepas kesemua 19 pusat pengundian yang dibuka pada 8 pagi tadi ditutup serentak pada 5.30 petang.

Proses penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 Shah Alam dan keputusan dijangka diumumkan selewat-lewatnya 10 malam ini.

Sehingga 4 petang tadi, peratusan yang keluar mengundi pada PRK ini adalah sebanyak 45 peratus, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi sebanyak 80 peratus.

Sebanyak 51,217 atau 99.97 peratus pengundi biasa layak mengundi hari ini manakala 13 pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara dan tiada pengundi awal bagi PRK DUN Sungai Kandis.

PRK itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas K Murthy.

Kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis itu berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei yang juga bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 6:16 PM