GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


MISTERI seorang remaja perempuan mengalami pendarahan teruk membongkar rahsianya yang disahkan mengandung sebaik dihantar ke Hospital Serdang, pada 2 Ogos lalu.

Mangsa berusia 15 tahun itu dihantar ke hospital berkenaan selepas mengalami pendarahan dipercayai di bahagian salur peranakan sebelum pemeriksaan doktor mendapati remaja terbabit mengandung.

Menurut sumber, remaja perempuan itu dihantar ke unit kecemasan hospital terbabit pada 5 pagi selepas mengalami pendarahan teruk.

Katanya, sebaik disahkan mengandung, mangsa memaklumkan kepada doktor bahawa dia pernah melakukan hubungan seks dengan seorang rakan sebaya dikenalinya.

“Remaja itu memaklumkan dia melakukan hubungan seks dengan rakan sebaya lelaki itu di kawasan pembinaan terbengkalai sekitar Pulau Meranti pada enam bulan lalu.

“Mangsa memberitahu dia pernah dirogol seorang lelaki berusia 19 tahun sebelum ini pada sekitar Februari atau Mac tahun lalu di sebuah apartmen di Putra Perdana, Sepang, Selangor,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, berikutan itu doktor merawat mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan dirawat di hospital berkenaan bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Berdasarkan laporan diterima, kami menahan rakan sebaya mangsa berusia 15 tahun di sekitar Sepang pada 3 Ogos lalu.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 7:35 PM