Wartawan NSTP
cnews@nstp.com.my


MAJALAH 3 di TV3 pada jam 9 malam ini, memaparkan temuramah bapa kepada Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham, Omar Othman yang kini berusia 76 tahun.

Ia bagi menelusuri kisah keluarga Ahmad Izham yang dijadikan inspirasi kepada filem diberi judul 'Pulang'.

Filem yang sudahpun menemui peminat bermula 26 Julai lalu dan dibintangi antara lain pelakon Remy Ishak

Filem ini digarap dari kisah keluarga Ahmad Izham di mana datuknya, Othman telah meninggalkan negara sebagai kelasi kapal dagang.

Othman belayar di laut biru bertujuan mencari rezeki buat keluarganya, namun keputusan kerjaya yang diambilnya bermaksud Othman terpaksa meninggalkan isteri dan anaknya di Serkam, Melaka.

Pelayarannya membawa Othman ke Liverpool di mana ramai rakyat Malaysia yang belayar sebagai kelasi kapal memilih untuk terus menetap di bandar United Kingdom itu.

Selain dari kisah Omar dan ayahnya, Othman, Majalah 3 akan turut menyingkap kisah kelasi ini di Liverpool yang pada satu ketika dahulu terkenal sebagai bandar pelabuhan paling sibuk di dunia.

“Dia janji nak balik, setahun, dua tahun, tak balik,” kata Omar kepada Majalah 3, mengenang kembali kisah hidupnya semasa muda.

Untuk mengetahui lebih lanjut kisah Omar dan juga kelasi Melayu di Liverpool, jangan lupa bersama Majalah 3 di TV3, jam 9 malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 10:13 AM