Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Enam ‘ahli kimia’ tempatan dan warga India yang mahir memasak syabu dicekup polis dalam serbuan di sekitar Port Dickson, dekat sini, membabitkan rampasan dadah bernilai RM2.4 juta, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, serbuan bermula jam 6.20 petang hingga 2.15 pagi itu dilakukan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Negeri Sembilan bagi melumpuhkan sindiket dadah antarabangsa.

Beliau berkata, enam suspek membabitkan seorang lelaki tempatan dan lima warga India berusia antara 21 hingga 40 tahun yang disyaki sebagai tukang memproses dadah, ditahan dalam serbuan itu.


MOHMAD (tiga dari kiri) menunjukkan peralatan memproses dadah syabu yang dirampas.

“Pada mulanya, kami menahan dua suspek terbabit di satu kawasan di Rantau. Susulan penahanan itu, polis menyerbu makmal dadah di kandang kambing di dalam ladang sawit di Linggi.

“Dalam serbuan itu, kami menahan empat lagi suspek. Hasil pemeriksaan menemukan 4.3 kilogram (kg) ketulan kristal disyaki syabu, 43.7kg cecair meth oil dan 50kg serbuk bahan kimia yang diproses menjadi syabu.

“Polis kemudian melakukan serbuan ketiga di sebuah rumah di Teluk Kemang terletak 20 kilometer dari kandang kambing. Hasil serbuan itu menemukan 150 gram kristal syabu, 1.3kg meth oil, sejumlah bahan kimia dan peralatan memproses syabu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini, semalam.

Beliau berkata, semua suspek kini direman tujuh hari bermula kelmarin hingga 10 Ogos ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 11:38 AM