ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di tapak pembuangan sampah haram. FOTO ihsan Bomba
Kalbana Perimbanayagam dan Hasbi Sidek


TINDAKAN pihak tidak bertanggungjawab membakar sampah di tapak pembuangan sampah haram berhampiran kilang papan dekat Batu Arang, Rawang, menyebabkan penduduk sekitar Green Valley, Bandar Tasik Puteri mengalami sesak nafas.

Kebakaran yang bermula pagi semalam masih gagal dipadamkan sepenuhnya oleh anggota bomba sehingga petang ini berikutan ia membabitkan kawasan kebakaran seluas 0.8 hektar.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Bomba Selangor Mohd Rizal Buang berkata, tempat pelupusan sampah berkenaan di atas tanah milik persendirian.

"Keluasan kawasan terjejas kebakaran di tapak pelupusan sampah haram dianggarkan seluas 0.8 hektar di tanah hak milik persendirian dan pemiliknya sudah dikenalpasti. Struktur tanah adalah bekas lombong dengan ketinggian cerun 6 meter.

"Operasi bersepadu bersama Pejabat Tanah Daerah (PTD) Gombak, Agensi Pertahanan Awam (APM), JBPM, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Gombak, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Worldwide dilaksanakan bermula hari ini dan api dijangka akan padam sepenuhnya dua hari lagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mesin jengkaut MPS tiba dilokasi petang tadi bagi membantu kerja pemadaman selain turut dibantu dengan pemantauan dron.

"Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), PTD dan MPS sudah menjalankan tanggungjawab masing-masing sebagai tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab dalam kejadian ini.

"Sehingga 2.30 petang tadi, pihak kami bersama agensi lain masih bertungkus lumus memadam kebakaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 7:41 PM