ANGGOTA Pasukan 4 Rejimen Sempadan (4RS) menunjukkan bungkusan daun ketum dirampas dianggarkan bernilai RM55,000 di Pos Sahara, Padang Terap, awal pagi semalam. FOTO ihsan ATM.
Noorazura Abdul Rahman


LICIK dan semakin berani! Sindiket penyeludupan daun ketum di sempadan negara dikesan menggunakan lori yang diubah suai bagi mengangkut 609 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai hampir RM55,000 di sempadan negara, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, kerja haram itu terbongkar apabila anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang membuat rondaan di Pos Sahara, Padang Terap, pada 3.30 pagi terserempak dengan beberapa lelaki sedang memuatkan sesuatu ke atas lori.

Panglima Enam Briged, Brig Jen Datuk Abdul Aziz Ismail, berkata terkejut dengan kehadiran Pasukan Empat Rejimen Sempadan (4RS), semua lelaki terbabit melarikan diri ke kawasan hutan.

“Hasil pemeriksaan di bahagian muatan lori itu menemui bungkusan plastik lutsinar berisi daun ketum diikat rapi dan disusun di bahagian bawah lantai lori yang diubahsuai.

“Bawah lantai lori itu ditutup menggunakan papan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di Padang Terap, semalam.

Abdul Aziz berkata, rampasan itu yang pertama membabitkan lori diubah suai berikutan penyeludup sebelum ini menjadikan kawasan semak sebagai lokasi transit sebelum diambil pihak ketiga untuk diseludup ke Thailand.

Beliau berkata, taktik terbaharu itu menunjukkan penyeludup bahan terlarang itu tidak serik dan sentiasa mencari idea baru bagi melakukan kegiatan mereka selepas mendapat permintaan dan harga tinggi di negara jiran.

“Sehubungan itu, ATM akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan di sepanjang kawasan sempadan negara bagi mengekang kegiatan penyeludupan dan pendatang asing tanpa izin (Pati).

“Semua daun ketum dan lori yang dirampas itu diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 12:44 AM