KARIMAH (dua dari kiri) bersama empat anak mereka yang berusia dua hingga 10 tahun. Gambar kecil, Afnizam.
Nor Farhani Che Ad

Sungai Petani: Sudahlah menderita akibat sakit buah pinggang, kini isterinya, Karimah Marsuki, 35, pula dibuang kerja selepas terpaksa bercuti panjang bagi menjaganya.

Itu yang terpaksa dihadapi Afnizam Md Zuki, 42, bapa kepada empat anak berusia antara dua hingga 10 tahun yang kini buntu mengenang nasib keluarganya.

Afnizam berkata, dia terpaksa berhenti bekerja di sebuah kilang elektronik enam tahun lalu selepas tidak sedarkan diri selama sembilan hari di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

“Selepas sedar dari koma, doktor memberitahu kedua-dua buah pinggang saya rosak dan bocor menyebabkan saya tidak lagi boleh bekerja di kilang berkenaan.

“Sejak itu, saya terpaksa berulang-alik dari rumah ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan pada masa sama mencari rezeki dengan berniaga nasi lemak,” katanya di rumahnya di Kampung Titi Mandi Lembu, Kuala Ketil.

Namun, katanya, keadaan itu tidak berpanjangan apabila tahap kesihatan Afnizam semakin merosot sejak tahun lalu sehingga dia terpaksa berhenti berniaga.

Lebih menyedihkan, isterinya yang sebelum ini bekerja sebagai tukang cuci di syarikat swasta dibuang kerja kerana terpaksa mengambil cuti tiga minggu untuk menjaganya yang dimasukkan ke SHAH akibat masalah kesihatan sama.

Afnizam berkata, kini mereka sekeluarga hanya bergantung bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan selain bantuan daripada ahli keluarganya yang bersimpati dengan nasib mereka.

“Bantuan yang kami terima memang tidak mencukupi kerana saya perlu menanggung empat anak termasuk tiga yang masih bersekolah rendah.

“Saya juga tidak mampu membayar sewa rumah sebanyak RM200 sebulan yang tertunggak sejak enam bulan lalu, disebabkan perlu menanggung kos rawatan mencuci darah berjumlah lebih RM300 sebulan,” katanya.

Afnizam berharap ada pihak yang sudi membantunya memberikan sumbangan modal untuk dia memulakan perniagaan kecil-kecilan bersama isterinya bagi menjana sumber pendapatan mereka.

Bagi mereka yang prihatin dan ingin membantu boleh menghubunginya di talian 016-4898780.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 11:50 AM