Siti Nur Mas Erah Amran


DEWAN Rakyat sekali lagi dicemari kata-kata kurang sopan dan lucah dilontarkan oleh beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang pada sesi perbahasan usul Rang Undang-Undang Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan, hari ini.

Kekecohan bermula apabila Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-UMNO Kinabatangan) diberi laluan mencelah oleh Khairy Jamaluddin (BN-UMNO Rembau) yang baru memulakan perbahasan.

Sebaik Bung Moktar mula berkongsi pengalaman ke pasar Selayang, Willie Mongin (PH-PKR Puncak Borneo) bersuara dengan kata-kata yang tidak berkaitan ditujukan kepada wakil rakyat Kinabatangan itu: “Bukan kasino ke?”

Kesan provokasi itu menyebabkan Bung Moktar bingkas berkata: “Tarik balik! Samseng! Kurang ajar! Mau gaduh dengan saya? Anytime!”

Mongin berang dan menyifatkan kata-kata kesat dilempar Bung Moktar sebagai tidak bermoral.

Suasana terus kecoh dengan beberapa penyokong kerajaan membantah tindakan Bung Moktar manakala Chang Lih Kang (PH-PKR Tanjung Malim) bangun dengan Peraturan Mesyuarat sambil meminta Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Rashid Hasnon mengarahkan Bung Moktar keluar Dewan.

Tanpa menghiraukan hingar-bingar itu, Bung Moktar terus menghamburkan kata-kata kurang sopan seperti ‘kepala bapak’, ‘tidak sekolah’, ‘mabuk’ dan ‘pelacur’.

Pertikaman lidah terus meruncing apabila wakil kedua-dua pihak mempertahankan pendirian sebelum Rashid mengarahkan semua pihak berdiam.

Datuk Seri Ronald Kiandee (BN-UMNO Beluran) kemudian bangun dan mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36(9) yang antara lain menggariskan kelakuan atau sifat Ahli Parlimen tidak boleh disebut.

“Ini menyebabkan punca perbalahan,” katanya dengan kekecohan berlanjutan hampir lima minit sebelum Dewan ditangguhkan untuk rehat tengah hari.

Apabila persidangan bersambung pada jam 2.30 petang, Khairy cuba meneruskan perbahasan tetapi beberapa Ahli Parlimen kerajaan bangun mendesak Rashid membuat ketetapan berhubung perlakuan Bung Moktar.

Rashid kemudian mengarahkan Bung Moktar menarik balik kenyataannya dan diberi peringatan supaya tidak mengulanginya bagi mengelak diarah meninggalkan Dewan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 5:28 PM
Bung Moktar (kiri bawah) berang dengan Mongin (kanan atas) yang mengeluarkan kata-kata menyentuh peribadi sebelum Rashid (kanan bawah) mengarahkan wakil rakyat Kinabatangan itu menarik balik perkataan kesatnya. FOTO Ihsan BNPPortal