Zambry pada sesi soal jawab Sidang DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Muhaizan Yahya
Shamsul Kamal Amarudin; Shaarani Ismail dan Zahratulhayat Mat Arif


BEKAS Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengkritik tindakan kerajaan negeri yang enggan melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) dalam kalangan wakil pembangkang seperti dilakukan di Dewan Rakyat.

Zambry (BN-UMNO Pangkor) membidas kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang menyatakan belum masanya DUN Perak melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang sebagai Pengerusi PAC.

“Di Dewan Rakyat tiada masalah melantik Pengerusi PAC dalam kalangan pembangkang, di sini pula tidak boleh, dia kata tidak mahu lantik sekarang, mahu selesaikan beberapa perkara dulu.

“Nampak sekarang matlamat dan tujuannya yang tersirat,” katanya pada sidang media di bangunan DUN Perak di ipoh hari ini.

Sementara itu, Datuk Saarani Mohamad (BN-UMNO Kota Tampan) membidas Nga Kor Ming (PH-DAP Aulong) yang mengungkit pelantikannya sebagai Ketua Pembangkang selepas beliau mengkritik kerajaan Pakatan Harapan.

“Jika ikhlas, jangan mengungkit (jawatan Ketua Pembangkang), jangan selepas saya `balun’, kamu masuk dan mengungkit jawatan ketua pembangkang.

“Kalau dah bagi, profesional lah,” katanya sambil menjelaskan jawatan Ketua Pembangkang menerima elaun bulanan RM3,000; sebuah bilik; dua pegawai dan sebuah kereta dengan seorang pemandu.

Katanya, kerajaan jangan berharap apabila sudah diwujudkan jawatan berkenaan, pihak pembangkang tidak boleh mengkritik kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 8:20 PM