PENGAMAL media menanti ketibaan Najib
Wartawan NSTP


PROSES pendaftaran media bagi wartawan, jurugambar dan juruvideo yang membuat liputan kes pendakwaan Datuk Seri Najib Razak kali ini agak ketat berbanding biasa.

Di pintu masuk utama lagi, pihak polis sudah mengawal dan menyaring pengamal media dengan membuat pemeriksaan ke atas kad media yang sah sebelum mereka dibenarkan masuk ke lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Di lobi pula, pengamal media dikehendaki beratur dan dibahagikan kepada dua barisan, iaitu mereka yang membuat liputan prosiding dalam mahkamah dan yang membuat liputan bagi sidang media.

Masing-masing diberikan pas yang berbeza iaitu pas merah jambu untuk dalam mahkamah dan pas kuning bagi sidang media.

Sebanyak 50 pas merah jambu dan 21 pas kuning dikeluarkan oleh pihak mahkamah kali ini.

Berikutan itu ramai tidak berpuas hati terutama jurugambar yang tidak dapat naik ke ke tingkat dua yang menempatkan mahkamah sesyen kerana kehabisan pas media.

Najib dijangka akan didakwa dengan tiga lagi tuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen pagi ini, kali ini membabitkan kesalahan pengubahan wang haram.

Difahamkan tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Seksyen itu menyebut mengenai kesalahan antaranya membabitkan secara langsung atau tidak langsung dalam transaksi hasil aktiviti haram, memperoleh, menerima, memiliki, mengalihkan atau membawa masuk ke dalam negara hasil aktiviti haram.

Mengikut seksyen itu, jika disabitkan boleh didenda maksimum RM5 juta atau dipenjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada 4 Julai lalu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan melakukan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hari ini juga ditetapkan bagi sebutan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 8:45 AM