Wartawan NSTP


DATUK Seri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram dan sebutan kes pecah amanah serta menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC International Sdn Bhd.

Bekas perdana menteri itu diiringi dua anaknya Nooryana Najwa dan Norashman pada jam 8.50 pagi.

Beliau yang berkot kelabu senyum dan melambaikan tangan kepada wartawan dan jurugambar.

Ketibaan Najib turut diiringi peguam pemerhati Datuk Geethan Ram Vincent dan Datuk K Kumaraendran.

Peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tiba 10 minit kemudian.


NAJIB ketika di mahkamah hari ini

Najib dijangka akan didakwa dengan tiga lagi tuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen pagi ini, kali ini membabitkan kesalahan pengubahan wang haram.

Tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sebutan kes pecah amanah dan salah guna jawatan yang dihadapi beliau turut ditetapkan sebutan pada hari ini di Mahkamah Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 9:16 AM