KAPAL mewah 'The Equanimity' yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan 1MDB tiba di Boustead Cruise Centre. Foto NSTP/ SAIRIEN NAFIS
Ahmad Johari Mohd Ali


MENTERI Kewangan Lim Guan Eng tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan mengenai kemungkinan

kerajaan akan menjual kapal layar mewah Equanimity yang dikaitkan dengan Low Jho Taek atau Jho Low, dipercayai membabitkan skandal rasuah syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Fahmi Abd Moin, berkata Peguam Negara yang sepatutnya mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu kerana ia membabitkan prosedur undang-undang yang ketat dan kerjasama pengumpulan serta perkongsian maklumat antara negara.

Bekas timbalan pendakwa raya itu berkata, Guan Eng sepatutnya mendapatkan maklumat lengkap daripada Peguam Negara berhubung segala proses perundangan membabitkan penjualan atau lelongan kapal layar berkenaan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Namun, saya percaya beliau sudah mendapat maklumat yang lengkap daripada Peguam Negara... begitu juga Peguam Negara sudah mengambil langkah dan prosedur undang-undang seperti Mutual Legal Assistance (bantuan perundangan bersama) antara Indonesia, Amerika Syarikat (AS) atau mana-mana negara terbabit dalam isu sitaan skandal 1MDB) ini," katanya.

Kelmarin, Guan Eng dilaporkan berkata, Putrajaya berkemungkinan akan menjual Equanimity bagi mendapatkan kembali wang yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Kapal Equanimity yang didaftarkan di Kepulauan Cayman, disita Februari lalu atas permintaan pihak berkuasa AS sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah bernilai berbilion dolar oleh Jabatan Keadilan AS (DOJ) membabitkan 1MDB.

Peguam Negara Tommy Thomas dilaporkan berkata, kejayaan merampas kapal mewah itu dicapai selepas hasil rundingan antara Indonesia, AS dan Malaysia menerusi perjanjian bantuan perundangan bersama yang diaktifkan baru-baru ini.

Kapal mewah itu tiba di Boustead Cruise Centre di Pelabuhan Klang, pada jam 1 tengah hari semalam. Ia berlabuh di jeti berkenaan selepas dikatakan berlayar selama hampir 20 jam dari Batam, Indonesia.

Berhubung proses jualan atau lelongan kapal berkenaan, Fahmi menjelaskan ia boleh dilakukan jika sudah mendapat perintah yang dikeluarkan mahkamah tinggi di negara ini atau DOJ.

Bagaimanapun katanya, ia bukan satu proses yang mudah kerana kerajaan atau mana-mana pihak yang berhasrat mendapatkan hasil daripada lelongan itu perlu melalui proses yang amat ketat.

"Saya berpendapat kerajaan perlu menunggu sehingga siasatan kes selesai sebelum memulakan proses untuk melelong kapal layar terbabit.

"Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu jika Peguam Negara merasakan siasatan dan pendakwaan akan mengambil masa yang lama dan untuk mengelakkan ia jatuh nilai atau rosak, mereka boleh membuat lelongan dan wang hasil lelongan itu disita bagi pelucutanhak apabila selesai pendakwaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 9:33 AM