GAMBAR hiasan

Olivia Miwil

[email protected]

LELAKI didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini, selepas mengaku bersalah

merosakkan mesin penapis air di Balai Polis Manggatal, Ahad lalu.

Majistret Afiq Agoes menjatuhkan hukuman itu terhadap Iby Sahazalin Oswald Yong, 35, dan memerintahkan lelaki itu dipenjara dua bulan, jika gagal membayar denda.

Beliau turut diarahkan membayar ganti rugi sebanyak RM300 kepada Balai Polis Manggatal.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di Balai Polis Manggatal, pada jam 2.30 pagi, 5 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Berdasarkan fakta kes, pemandu lori itu ditahan ketika mengamuk di Kampung Muhibbah dekat Kota Kinabalu, dan cedera di tangan kanan selepas memecahkan tingkap rumahnya sebelum itu.

Polis kemudian membawa tertuduh ke balai tetapi dia masih bertindak agresif dengan menendang pintu dan tingkap sambil berteriak serta merosakkan sebuah mesin penapis air yang ditempatkan di balai terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 1:41 PM