TERTUDUH (kanan) dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak, Putrajaya atas kesalahan mencium dahi dan mulut kanak-kanak perempuan, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


SEORANG pekerja restoran dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak di Putrajaya, hari ini selepas mengaku bersalah kerana mencium dahi dan mulut kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di dalam tandas restoran di Shah Alam, Selangor pada 19 Jun lalu.

Hakim Yong Zarida Sazali memerintahkan tertuduh warga Indonesia Zulham Syahputra, 26, menjalani hukuman penjara berkenaan bermula dari tarikh tangkapan pada 20 Jun lalu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang mana boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didapati mencium dahi dan mulut mangsa bagi tujuan seksual di dalam tandas restoran tempatnya bekerja di Shah Alam, Selangor.

Mangsa yang ketakutan kemudian bertindak menolak suspek dan berlari menuju ke meja makan sebelum memaklumkan kejadian kepada kedua ibu dan bapa angkatnya.

Susulan kejadian itu, bapa angkat mangsa kemudian membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada 20 Jun.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah supaya hukuman terhadapnya diringankan kerana perlu menyara keluarga di Indonesia.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 3:41 PM