WAKIL Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Shahrin Yusmar memberi taklimat kepada peserta yang hadir pada Bengkel Prosedur Tetap Operasi (SOP) melaksanakan Program Mencegah Kebakaran Tanah Gambut Untuk Mengatsai Jerebu di Pekan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Nik Sukry Ramli


SEBANYAK 105 titik panas dikesan di Pahang sehingga Julai lalu dengan 67 daripadanya membabitkan tanah gambut.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Rosli Zul berkata, jumlah itu meningkat berbanding hanya 47 titik panas dikesan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Sebenarnya prosedur operasi standard (SOP) bagi menguruskan tanah gambut terutamanya membabitkan kebakaran yang boleh mengakibatkan jerebu sudah wujud sejak 2009.

“Kita cuma mahu pastikan SOP ini terus dipatuhi oleh semua agensi seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perhutanan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Memandangkan negeri ini mempunyai kawasan tanah gambut luas merangkumi 3,357.237 meter persegi (36,137 kaki persegi) membabitkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin sudah tentu kita perlukan garis panduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel SOP Melaksanakan Program Mencegah Kebakaran Tanah Gambut Untuk Mengatasi Jerebu di Pekan, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalannya, Mahamud Ismail.

Seramai 56 peserta mengambil bahagian dalam bengkel selama dua hari itu.

Rosli berkata, antara kaedah pengurusan air mapan di kawasan gambut adalah membina infrastruktur seperti membina hadangan air, telaga tiub dan kolam takungan bagi melembabkan kawasan terbabit.

Katanya, selain pemantauan di kawasan tanah gambut, pembinaan menara tinjau juga banyak membantu dalam mengenalpasti kawasan yang berisiko berlaku kebakaran.

“Bagi tujuan penyediaan infrastruktur kita sudah ada 70 hadangan air, 13 telaga tiub dan lima kolam takungan... sebanyak 13 lagi hadangan air dan satu telaga tiub sedang dalam proses pembinaan membabitkan peruntukan RM460,000 dan dijangka siap tahun ini.

“JAS Pahang juga sudah mengadakan perbincangan dengan pihak ladang bagi menyediakan kemudahan infrastruktur dalam kawasan ladang mereka.

“Kita juga akan mengadakan beberapa siri taklimat berkaitan pembakaran terbuka bersama pekebun atau pengusaha ladang bagi memastikan semua maklumat ini sampai kepada pihak yang disasarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 9:03 PM