Nur Syazwana Mansor
cnews@nstp.com.my


HASRAT seorang lelaki membawa pulang lampin pakai buang untuk anaknya tidak kesampaian selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah lori yang terbalik di Jalan Padang Toi, dekat Sik, malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 10.15 malam itu, mangsa, Nirazman Said, 36, yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Perumahan KEDA, Kampung Bendang Man, maut akibat parah pada badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila lori membawa muatan biskut dipandu pemandu berusia 51 tahun dari arah Felda Teloi Timur hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Abdull Razak berkata, pemandu lori terbabit cuba mengawal kenderaannya, namun gagal mengakibatkan kenderaan itu terbalik secara melintang di tengah jalan.

"Pada masa sama, seorang lelaki yang menunggang motosikal melanggar lori menyebabkan dia tercampak dan mengalami cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sik untuk bedah siasat," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 10:20 AM