PEMBANTUkedai warganegara Bangladesh (kiri) diiringi anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keluar dari Mahkamah Sesyen Seremban selepas didakwa atas tuduhan memberikan sogokan berjumlah RM3,500 kepada anggota KPDNKK yang menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah pasar mini di College Height Garden Resort, Pajam pada 4 Ogos lalu. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Nur Aqidah Azizi


PEMBANTU kedai runcit warga Bangladesh meraung-raung selepas Mahkamah Sesyen Seremban, menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM17,500 terhadapnya kerana menawarkan rasuah kepada penguat kuasa, minggu lalu.

Hakim Madihah Harullah, membuat keputusan itu selepas Muhammad Imran Abdullah, 48, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Dia didakwa menawarkan RM3,500 kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya tidak mengambil tindakan terhadap kedai milik isterinya yang menjual barang kawalan tanpa lesen.

Kesalahan itu dilakukan di College Height Garden Resort, Mantin dekat sini, pada 1.26 tengah hari, 4 Ogos lalu.

Berikutan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurdiyanah Mohd Nawawi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh memohon hukuman lebih ringan dengan memberi alasan dia menderita penyakit kanser otak selain terpaksa menjaga dua anaknya kerana isterinya menderita penyakit migrain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 12:38 PM