KETUA Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI warga Indonesia cedera selepas ditetak penjenayah dalam kejadian di Batu 6, Jalan Gombak, Gombak, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, mangsa, 36, dikatakan menunggang motosikal sendirian di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, mangsa kemudian didatangi suspek yang berjalan dengan bersenjatakan parang.

“Berlaku pergelutan antara mereka menyebabkan suspek bertindak menetak mangsa menggunakan parang.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di belakang badan, manakala suspek terus melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa yang cedera dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Polis sudah mengambil keterangan mangsa dan dia mengaku berada dalam keadaan separuh sedar akibat khayal selepas mengambil dadah jenis syabu ketika kejadian.

"Saringan ujian air kencing mangsa sudah dilakukan dan kami sedang menunggu keputusannya,” katanya.

Katanya, polis kini sedang mengesan suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun menggunakan senjata hingga mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 3:36 PM