MOHD Ali (tengah) bersama anak mangsa kemalangan iaitu Muhd Fareez (kiri), Hadiff Aisy dan Muhd Zakwan di rumah datuknya di Kampung Permatang Palas, Benut, Pontian, hari ini. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki.


“JIKA kami dah tak ada, awak jaga anak-anak kami dengan baik,” pesan Rohana Kosnan, 46, kepada abangnya Muhd Ali, 53, dua hari sebelum dia maut bersama suaminya, Ahmad Mohd Noor, dalam kemalangan di Parit 1, Api-Api, Pontian, semalam.

Kemalangan jam 3.30 petang itu menyebabkan tiga beradik Muhd Fareez Ahmad, 12, Muhd Zakwan, 11, dan Hadiff Aisy, 6, yang masing-masing bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Jaya, Benut menjadi yatim piatu.

Dalam kejadian itu, suami isteri terbabit yang dalam perjalanan ke Pejabat Tanah dan Galian Pontian meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dinaiki bertembung dengan treler dari arah bertentangan.

Kedua-dua mangsa dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Palas, Benut, jam 10 pagi hari ini.

Muhd Ali berkata, pesanan kakak itu diucapkan secara tiba-tiba ketika mereka berada di rumah ibu bapanya di Kampung Permatang Palas.

Katanya, ketika kakak menyampaikan pesanan itu, dia bertanya kenapa berkata begitu, namun arwah hanya tersenyum tanpa memberi sebarang sebab dan terus berlalu begitu saja.

“Saya tidak menyangka pesanan itu menjadi petanda bahawa kami akan kehilangan ahli keluarga yang baik dan bersifat penyayang terutama kepada tiga anak lelakinya.

“Saya anggap pesanan itu bagaikan satu wasiat yang perlu ditunaikan dan pada masa sama isteri saya, Zaimah Wagiman,44, turut merestui pesanan itu dengan hati yang terbuka,” katanya yang menetap di Taman Skudai Baru, Johor Bahru.

Katanya, dia merancang memindahkan tiga beradik itu untuk bersekolah di Johor Bahru kerana menganggap mereka bagai anak sendiri, selain boleh menjadi peneman tiga anaknya berusia antara 15 hingga 20 tahun.

Sementara itu, Muhd Fareez berkata, dia akan mengingati pesan terakhir arwah ibu bapanya beberapa hari sebelum kejadian supaya belajar bersungguh-sungguh, selain membimbing dua adik terutama ketika menunaikan solat.

“Ibu ayah adalah insan penyayang. Walaupun dengan pendapatan sebagai petani yang tidak seberapa, namun keperluan sekolah kami sentiasa diutamakan.

“Pelbagai kenangan manis ketika bersama arwah akan sentiasa dikenang dan apa jua pesanan mereka akan saya cuba laksanakan sebaik mungkin.

“Kami tiga beradik mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian Deputi Superintendan Azri Noraini berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila treler terbabit melakukan brek sejauh kira-kira 36 meter bagi mengelakkan sebuah kereta lain yang membelok ke simpang di kampung berkenaan sebelum bertembung dengan kereta mangsa.

Katanya, kes disiasat mengikut Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu kenderaan secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Berita berkaitan

Suami isteri ceria sebelum ajal

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 3:56 PM