CHONG (tengah) menunjukkan barangan antik curi yang ditemui semula pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, hari ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


HASRAT lelaki yang pertama kali mahu menjual barangan antik dicurinya di sebuah muzium di Kampung Koh, Sitiawan, kira-kira tiga minggu lalu tidak kesampaian apabila ditahan polis.

Suspek, 42, ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di rumah di Kampung Koh, kira-kira tiga kilometer dari muzium berkenaan pada jam 4 petang, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superintendan Chong Bhoo Khim, berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan barangan antik yang disimpan di dalam muzium itu pada 17 Julai lalu.

Menurutnya, polis kemudian menahan suspek yang kemudian membawa kepada penemuan 68 barangan antik seperti syiling, wang kertas lama, seterika arang, kamera, penyepit besi, perhiasan tembaga dan setem lama dilaporkan hilang.

Katanya, hasil siasatan awal, suspek mengaku mencuri barangan berkenaan sejak tiga minggu lalu dan ia adalah percubaan pertamanya.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah membabitkan kes gaduh, mencuri dan dadah. Suspek juga didapati positif dadah hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan.

“Barangan antik yang dicuri itu berjaya dirampas kerana masih belum dibeli mana-mana pihak,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, polis turut percaya suspek terbabit dalam kegiatan curi sarang burung dan kabel berikutan penemuan alat pemotong serta sarang burung, namun masih dalam siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 6:43 PM