X
WANITA warga asing dan lelaki yang ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Seri Kembangan, Serdang, semalam. FOTO Sairien Nafis
WANITA warga asing dan lelaki yang ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Seri Kembangan, Serdang, semalam. FOTO Sairien Nafis
Nurul Hidayah Bahaudin


BERSELINDUNG di sebalik perkhidmatan urutan di dalam spa menjadi taktik sindiket pelacuran dipercayai aktif menawarkan kegiatan tidak bermoral sejak lebih dua bulan lalu.

Bagaimanapun, aktiviti itu terbongkar selepas serbuan dalam Operasi Noda (Op Noda) dilakukan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sebuah hotel terkemuka di Seri Kembangan, Serdang, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, seramai 14 wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang urut dan tiga penjaga premis ditahan selepas risikan dijalankan di premis berkenaan selama tiga hari.

“Dalam serbuan jam 9 malam (semalam) itu, kami menahan empat wanita warga Indonesia, enam wanita warga Vietnam dan empat wanita warga Thailand berusia 20-an selain tiga lelaki tempatan berusia 30-an.

“Kami turut merampas 18 kondom, minyak urut, tuala, jadual kerja dan sejumlah wang tunai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini.

ISMADI (depan) menunjukkan barang yang dirampas dalam Op Noda pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. FOTO Sairien Nafis
ISMADI (depan) menunjukkan barang yang dirampas dalam Op Noda pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. FOTO Sairien Nafis

Ismadi berkata, modus operandi sindiket itu adalah berselindung di sebalik perkhidmatan urutan yang ditawarkan di premis spa hotel berkenaan.

“Difahamkan, sindiket ini aktif sejak lebih dua bulan lalu dengan menawarkan khidmat urutan kepada pelanggan dan menjadikan hotel terbabit sebagai lokasi untuk menjalankan kegiatan itu.

“Selain urutan, pelanggan juga boleh mendapatkan khidmat seks daripada tukang urut berkenaan dengan harga RM200 hingga RM300 bagi sekali perkhidmatan,” katanya.

Katanya, kesemua mereka ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/1963.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 9:02 PM