Muhaamad Hafis Nawawi


GADAI nyawa dan membahayakan pengguna jalan raya lain. Itu dapat dikatakan kepada segelintir pemandu lori muatan berat apabila mereka sanggup memandu kenderaan terbabit walaupun menyedari lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

Malah, apabila cuba ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pemandu terbabit tidak memberi kerjasama dengan melarikan bagi mengelakkan dikenakan saman dan berkemungkinan lori disita.

Itu antara cabaran terpaksa dihadapi JPJ Kedah sepanjang menjalankan Ops Tutup bermula Januari 2018 hingga Julai lalu apabila pemandu terbabit enggan memberi kerjasama.

Pengarah JPJ Kedah, Isma Suhaimi Sharif berkata, pihaknya sentiasa komited mengenai isu kenderaan membawa lebih muatan dan kesalahan lain dengan mengambil pendekatan membuat rondaan dan menyamar di lokasi tumpuan kenderaan berat.

Beliau berkata, sepanjang Ops Tutup diadakan sebanyak lima siri pihaknya mendapati pemandu kenderaan berat terbabit tidak mahu memberi kerjasama dan enggan memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun selepas ditahan, didapati mereka bertindak sedemikian kerana LKM kenderaan terbabit sudah tamat tempoh selain tiada perlindungan insurans.

“Selain itu, ada yang mengubah suai lori, membawa lebih muatan dan menyalah guna permit barangan yang sepatutnya untuk pertanian, tetapi membawa bahan batuan,” katanya pada sidang media di Pejabat JPJ negeri di Alor Setar, hari ini.

Isma Suhaimi berkata, sejak Januari hingga Julai lalu, sebanyak 6,459 saman dikeluarkan JPJ negeri terhadap kenderaan berat di negeri ini berbanding cuma 5,107 untuk tempoh sama, tahun lalu.

Beliau berkata, JPJ Kedah berhasrat mengadakan pertemuan bersama kerajaan negeri dan agensi di bawahnya bagi mencari penyelesaian terhadap peningkatan jumlah kes membabitkan kenderaan berat di negeri ini.

“Antara perkara boleh dibincangkan adalah mengenai bidang kuasa masing-masing. Di pihak JPJ, kami hanya boleh mengambil tindakan setelah kenderaan terbabit berada di jalan raya sedangkan perkara sedemikian sepatutnya sudah boleh diatasi di peringkat awal iaitu ketika kenderaan terbabit berada di tapak kuari lagi.

“Melalui permit kelulusan kuari oleh kerajaan negeri, ada syarat dan perlu dipatuhi kenderaan berat ini.

“Sekiranya wujud jalinan kerjasama lebih erat antara kami dan pihak mengelolakan permit ini, saya percaya pemantauan untuk semua pihak menguatkuasakan undang-undang secara bersama menjadi lebih mudah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 10:52 PM
ISMA Suhaimi (dua dari kanan) menunjukkan lori memawa lebih muatan yang disita menerusi Ops Tutup dijalankan JPJ Kedah pada sidang media di Alor Setar, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam.