DR Dzulkefly melihat keadaan katil pesakit yang penuh ketika melakukan lawatan mengejut di Hospital Kajang.
DR Dzulkefly melihat keadaan katil pesakit yang penuh ketika melakukan lawatan mengejut di Hospital Kajang.
Meor Riduwan Meor Ahmad

Kajang: Kadar penggunaan katil harian di Hospital Kajang kini mencapai 150 peratus hingga menyumbang kepada kesesakan di wad, klinik pakar atau jabatan kecemasan.

Menteri Kesihatan Menteri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kesesakan itu berlanjutan sejak beberapa tahun lalu berikutan peningkatan ketara bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan hingga turut memberi ketidakselesaan dan tekanan kepada kakitangan bertugas dan pesakit.

Pada masa sama, beliau berkata, polisi hospital yang komited untuk memberi perkhidmatan rawatan dan tiada sekatan bilangan pesakit turut menyumbang kepada masalah itu.

“Melalui lawatan saya tadi (semalam) termasuk ke wad bersalin, wad lelaki dan kanak-kanak ruang sesak hingga ada katil terpaksa diletakkan di koridor.

“Pelbagai usaha sudah dilakukan pengurusan Hospital Kajang bagi mengatasi kesesakan di wad termasuk memaksimumkan penggunaan ruang termasuk koridor.

“Jumlah kedatangan harian pesakit ke Jabatan Kecemasan dan klinik pakar misalnya mencapai 400 orang.

“Pesakit turut dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di hospital berdekatan seperti di Hospital Serdang dan Hospital Kuala Lumpur, namun kadar pengunaan katil kekal 150 peratus,” katanya selepas mengadakan lawatan ke hospital itu, semalam.

Difahamkan, lawatan itu bagi meninjau kesesakan di hospital itu susulan aduan seorang pengguna menerusi Twitter akhir bulan lalu yang turut mendapat reaksi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tindakan diambil segera.

Dr Zulkefly meluangkan masa sejam membuat tinjauan antaranya wad kanak-kanak, klinik pakar dan wad bersalin sambil diberi penerangan oleh Pengarah Hospital itu, Dr Md Fikri Abu Bakar.

Beliau berkata, sebagai penyelesaian jangka pendek, pihak Hospital Kajang diminta membuat permohonan sekurang-kurangnya 15 katil tambahan bagi menampung pertambahan bilangan pesakit yang ramai dengan kelulusan segera Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan akan membina blok tambahan dan melakukan pengubahsuaian bangunan sedia ada, di samping pembinaan Kompleks Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak (WCC) di tapak Kuarters Lama Sungai Jelok bernilai RM300 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 10:47 AM
Digital NSTP Subscribe