Nor Malaysia menunjukkan plak penghargaan diterima sempena sambutan Jubli Emas Pembentukan Malaysia. FOTO Ainal Marhaton Abd Ghani
Ainal Marhaton Abd Ghani
cnews@nstp.com.my


“PEMILIHAN nama saya sebagai Nor Malaysia dibuat secara spontan kerana dilahirkan tiga jam sebelum pengisytiharan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963," kata Nor Malaysia Rose.

Nor Malaysia, 55, berkata, pada mulanya nama asal dipilih oleh arwah bapa dan ibunya, Rose Ahmad Ajar Akob adalah 'Normala' sahaja, namun ia bertukar ketika arwah bapanya ke Balai Polis Benta, Lipis untuk mendaftarkan kelahirannya.

“Arwah ayah yang juga pesara guru pernah bercerita kepada saya bahawa dia terlebih dahulu berbual dengan beberapa anggota polis di balai polis berkenaan berkaitan sejarah Tanah Melayu sebelum pendaftaran kelahiran dilakukan.

“Arwah ayah tertarik dengan nama Malaysia dan dia mengambil keputusan sendiri menamakan saya Nor Malaysia sebagai memperingati hari bersejarah itu dan arwah ibu pula tidak membantah malah memuji gabungan nama itu.

“Semangat patriotik dan cintakan tanah air membuatkan arwah ayah menamakan saya sebagai Nor Malaysia," katanya kepada NSTP ketika ditemui di Taman Kempadang Makmur, Kuantan, baru-baru ini.

Nor Malaysia yang juga pesara guru berkata, dia sering menjadi tumpuan kerana mempunyai nama yang unik sejak zaman kanak-kanak sehingga melanjutkan pengajian di maktab perguruan.

“Siapa dia Nor Malaysia, mana satu Nor Malaysia, dia ni rupanya Nor Malaysia. Itu ungkapan sama setiap kali saya menjejakkan kaki di sekolah baru dan terakhir di Maktab Perguruan Seri Kota, Kuala Lumpur.

“Memang pada peringkat awal dahulu saya malu apabila dipanggil 'Malaysia' terutama zaman kanak-kanak tetapi lama kelamaan menjadi seronok pula sebab nama itu membuatkan saya lebih senang dikenali dan diingati," katanya.

Katanya, sebagai 'pembawa' nama negara, pelbagai kisah menarik dilaluinya termasuk diraikan sebagai tetamu istimewa sempena sambutan ke-50 pembentukan Malaysia yang diadakan di Sabah pada 2013.

“Ramai pemilik nama berkaitan negara turut diundang dan kami menerima layanan istimewa sepanjang acara sambutan diadakan," katanya.

Nor Malaysia berkata, dia turut juga menjadi 'sasaran' anak muridnya ketika mengajar atau bercerita mengenai sejarah Tanah Melayu dan peristiwa pembentukan Malaysia.

“Anak murid secara tidak langsung menghafal tarikh itu sambil merujuk saya sebagai 'ingat Hari Malaysia... ingat Cikgu Nor Malaysia," kata bekas guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Soi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 12:27 PM