MOHAMMAD Azlan.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


BUAT pertama kalinya, Kumpulan Syarikat PROLINTAS (PROLINTAS) akan menganjurkan acara sukan berskala besar GCE Duathlon 2018 di atas lebuh raya.

Acara itu akan diadakan di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Selangor pada 16 September depan iaitu sempena sambutan Hari Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, GCE Duathlon 2018 adalah acara sukan berskala besar dan pihaknya berharap atlet dan peminat sukan berbasikal dan larian sama ada dari dalam dan luar negara akan untuk menyertai acara itu.

“Dengan jajaran sepanjang 55.4 kilometer (km) dari Bukit Jelutong ke persimpangan Rawang, GCE adalah antara laluan popular bagi peminat sukan berbasikal dan larian terutama pada hujung minggu.

“Oleh itu, kami mengambil inisiatif dengan menganjurkan acara duathlon ini, sekali gus memberikan platform terbaik untuk acara berbasikal dan larian di lebuh raya dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, GCE Duathlon 2018 menyasarkan 1,000 hingga 1,500 penyertaan daripada pelbagai lapisan umur dan masyarakat.

Katanya, perlumbaan akan bermula dan berakhir di Plaza Tol Bukit Jelutong apabila peserta memulakan perlumbaan dengan larian, seterusnya berbasikal dan berlari semula sehingga ke garisan penamat dan lebuh raya itu akan ditutup bermula 3 pagi hingga 2 petang pada hari acara berlangsung.

“PROLINTAS mengambil kesempatan untuk menyalurkan sebahagian daripada kutipan yuran penyertaan kepada MERCY Malaysia yang dipilih untuk menjadi ‘rakan amal’ kepada acara tahun ini,” katanya.

Sementara itu, GoSportz yang juga agensi pengurusan acara GCE Duathlon 2018 mengakui amat teruja untuk bekerjasama dengan PROLINTAS bagi menjayakan acara sukan unik dan bakal memberi inspirasi kepada orang awam ini.

Pengarah Perlumbaan GoSportz, Albertt Leong berkata, GCE Duathlon 2018 adalah peluang terbaik buat atlet untuk menyertai acara sukan merangkumi aktiviti berbasikal dan larian sama ada bagi tujuan riadah atau pertandingan.

“Acara ini membabitkan tiga kategori pertandingan dan satu aktiviti santai. Dua kategori untuk acara solo adalah GCE Full Duathlon (10km berlari, 60km berbasikal dan 10km berlari) dan GCE Dash Duathlon (5km berlari, 27km berbasikal dan 5km berlari) dan ia terbuka untuk lelaki dan wanita berusia 16 tahun ke atas.

“Satu lagi adalah acara berpasukan iaitu Team Relay terbahagi kepada dua sub kategori iaitu Men Relay bagi peserta lelaki dan Mixed Relay untuk peserta campuran.

“Bagi acara ini, tiga peserta dalam satu pasukan dikehendaki melalui cabaran dengan 10km berlari, 60km berbasikal dan 10km berlari,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan acara Fun Ride sejauh 36km bagi mereka yang berminat dengan acara santai.

Menurutnya, yuran penyertaan bagi setiap peserta adalah RM250 bagi GCE Full Duathlon dan RM220 bagi GCE Dash Duathlon.

Katanya, yuran penyertaan berkumpulan untuk tiga orang bagi kategori GCE Team Relay adalah sebanyak RM540 manakala yuran RM50 untuk acara Fun Ride.

“Pendaftaran kini dibuka kepada orang ramai dan akan ditutup pada 19 Ogos ini. Setiap peserta akan menerima pek penyertaan mengandungi baju jersi atau kemeja T, beg cenderamata, nombor bib, cip masa dan pelbagai barangan lagi.

“Pek penyertaan akan diedarkan kepada peserta pada 14 dan 15 September bermula 11 pagi hingga 7 malam di lokasi akan diumumkan kelak.

“Untuk pendaftaran dan sebarang maklumat lanjut layari www.gosportz.my/all-events/gce-duathlon,” katanya.

Selain itu, orang ramai disarankan untuk memuat turun aplikasi mudah alih PROLINTAS menerusi App Store dan Google Play secara percuma untuk menerima sebarang maklumat mengenai GCE Duathlon 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 12:41 AM