MELOR menunjukkan karung plastik khas digunakan Afiq untuk membuang air besar akibat mengalami masalah usus di luar badan sejak lahir ketika ditemui di rumah mereka di Batu Bertangkup, Chuping, Padang Besar. FOTO Azhar Ramli.
Muhammad Mustakim Ramli
m.mustakim@nstp.com.my


KETIKA rakan sekelasnya bermain bola sepak dan melakukan pelbagai aktiviti di sekolah, Muhammad Afiq Iqbal Normajdi, 10, hanya mampu melihat dari jauh.

Sesiapa yang melihat Muhammad Afiq pasti menganggap kanak-kanan itu sempurna, namun hakikatnya dia mengalami masalah usus di luar badan sejak kecil lagi.

Akibatnya, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bertangkup, Chuping, itu tidak mempunyai saluran untuk membuang najis dan perlu memakai lampin bagi membuang air kecil serta membawa karung plastik khas di perut untuk membuang air besar.

Ibunya, Melor Hussein, 36, berkata ketika mengandungkan anak kedua daripada tiga adik beradik itu, semuanya berjalan lancar dan dia tidak mengalami sebarang masalah.

“Kami hanya mengetahui Afiq sakit selepas dia dilahirkan iaitu pada 11 malam pada 19 April 2008 di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

“Pada 7 pagi esoknya, dia terus menjalani pembedahan memasukkan usus di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Batu Bertangkup, Chuping.

Beliau berkata, walaupun sudah menjalani pembedahan, anaknya masih mendapat rawatan susulan selain perlu menjalani beberapa pembedahan lain.

“Pada 28 Ogos ini, kami akan bertemu pakar sekali lagi bagi mendapatkan tarikh sesuai untuk membolehkan Afiq dapat membuang air kecil seperti orang lain.

“Berdasarkan keadaannya sekarang, itu saja yang boleh menyenangkannya kerana kami difahamkan untuk membuang air besar, Afiq perlu menggunakan karung plastik khas sepanjang hayatnya,” katanya.

Melor mengakui, dengan pendapatan tidak menentu suaminya, Normajdi Amran, 34, sebagai buruh menyukarkan mereka membeli kelengkapan Afiq.

“Kami memperuntukkan lebih RM500 untuk membeli karung khas serta lampin pakai buang Afiq setiap bulan.

“Karung plastik dipakai dua hari sekali, jika keadaannya baik Alhamdulilah..jika dia sakit perut sehari sekali atau dua kali sehari, jadi pemakanannya perlu dijaga bagi mengelak Afiq sakit,” katanya yang turut menerima bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan.

Bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi Melor di talian 017-4096243.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 1:10 AM