ANGGOTA polis yang dibantu orang ramai mengangkat mayat Partiban (gambar kecil) selepas kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 82.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Batu 5, Dungun, malam tadi. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham 
cnews@nstp.com.my

 

LELAKI maut tercampak keluar dari kereta dipandunya selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 82.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Batu 5, Dungun, malam tadi.

 Dalam kemalangan 10.30 malam itu, R Partiban, 25, dari Taman Dato Rashid, Kuantan, maut di tempat kejadian selepas kereta Proton Wira dipandunya dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh pagar rumah di situ.

Berikutan itu, mangsa tercampak keluar dari keretanya manakala kereta Proton Saga BLM dipandu Syazreen Syafika Azmi, 23, yang berada di belakang kereta mangsa cuba mengelak dan berpusing sebelum dirempuh kereta Proton Wira dipandu Mohd Jhilang Fakhruddin, 28, namun kedua-duanya tidak cedera.

Syazreen Syafika berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Kerteh untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kuala Abang, Dungun. 

Katanya, ketika kejadian hujan lebat dan dia mengekori kereta lain yang berada di belakang kereta mangsa.

“Tiba-tiba kereta di depan saya itu menekan brek kecemasan untuk mengelak daripada terlanggar kereta mangsa dan saya turut menekan brek sehingga kereta saya berpusing. 

“Pada masa sama, kereta Proton Wira di belakang saya gagal mengelak lalu merempuh kereta saya. Saya bersyukur tidak cedera dalam kemalangan ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

“Ketika kejadian keadaan jalan basah akibat hujan lebat dan polis sudah menghubungi keluarga mendiang memaklumkan kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 1:33 AM