Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


TINDAKAN segelintir masyarakat yang dikatakan menghina dan meminggirkan budak perempuan 11 tahun yang berkahwin dengan peraih getah berusia 41 tahun bertentangan dengan ajaran Islam.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, Islam melarang perbuatan itu kerana ia boleh menjejaskan kehidupan kanak-kanak terbabit termasuk dari segi psikologinya.

Katanya, masyarakat sewajarnya mengambil pendekatan positif dan melihat isu itu dengan lebih menyeluruh.

"Masyarakat suka bersikap menghukum tanpa membuat sebarang usul periksa berhubung sesuatu isu.

"Kita boleh kritik tapi biarlah yang membina. Bagaimanapun, Islam melarang kritikan yang boleh menjatuhkan kehidupan individu terbabit.

"Sebagai umat Islam, kita sepatutnya mendoakan suami isteri ini kekal bahagia, bukan cuba mengkritik untuk memisahkan mereka," katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Harian Metro, semalam, yang mendedahkan suami budak 11 tahun itu terpaksa memindahkan isterinya serta ibu bapa mentuanya ke kawasan kebun getah di Gua Musang berikutan tidak tahan dihina dan dipinggirkan masyarakat setempat.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, pasangan itu berkahwin untuk menghalalkan hubungan mereka sebagai suami isteri walaupun tidak mengikut saluran undang-undang di negara ini.

"Mengapa mereka yang berkahwin dikritik tapi kita biarkan dan tidak menegur apabila melihat lelaki dan perempuan yang tidak berkahwin tanpa segan silu ke sana ke mari sehingga mengandung anak luar nikah.

"Oleh itu saya nasihatkan masyarakat melihat isu ini dengan lebih menyeluruh dan membuat pertimbangan wajar sebelum mengambil sebarang tindakan," katanya.

Berita perkahwinan peraih getah itu dengan pasangan tular di media sosial selepas isteri kedua lelaki itu memuat naik gambar perkahwinan lelaki itu dengan budak 11 tahun, di Facebook pada Jun lalu.

Kedua mereka berkahwin di masjid di Munduk, Thailand pada 18 Jun.

Berikutan itu, peraih getah didenda sebanyak RM1,800 atas dua pertuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran di Mahkamah Rendah Syariah di Gua Musang pada bulan lalu.

Bulan lalu juga isteri mudanya dipanggil oleh Majlis Agama Islam Narathiwat untuk diambil keterangannya berhubung perkahwinan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 1:14 PM