KEADAAN kenderaan dinaiki mangsa, wanita berusia 43, yang terbalik sebelum terbabas di Jalan Gana berhampiran Kampung Piso, Kota Marudu. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my


WANITA parah di kepala, manakala 16 mangsa lagi cedera selepas kereta pacuan empat roda Toyota Hilux Revo dinaiki mereka mengundur dan terbalik dua kali sebelum terbabas di Jalan Gana, berhampiran Kampung Piso, Kota Marudu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, semua mangsa wanita termasuk dua kanak-kanak perempuan dikatakan dalam perjalanan dari Pitas ke gereja berhampiran di lokasi untuk menjalani aktiviti kerohanian.

Bagaimanapun, sebaik menaiki bukit di lokasi, kenderaan tiba-tiba gagal bergerak ke hadapan, lalu mengundur sebelum pemandu hilang kawalan mengakibatkan ia terbalik sebanyak dua kali dan terbabas di tengah jalan raya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, sebaik menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.17 pagi, tujuh anggota serta sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, mangsa yang juga penumpang, Juwina Majuri, 43, parah di kepala akibat terhantuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, manakala mangsa lain termasuk dua kanak-kanak dikejarkan ke Hospital daerah Kota Marudu menggunakan ambulans dan kenderaan orang awam.

"Operasi ditamatkan pada 10.20 pagi tadi manakala siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, dihubungi, mengesahkan kejadian.

"Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 2:12 PM