PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali meluangkan masa menziarahi Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hospita. FOTO FB Tan Sri Muhyiddin Yassin.
HM Digital

KESIHATAN Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin pulih tetapi mungkin perlu menjalani kemoterapi sebagai sebahagian daripada rawatan susulan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya pergi bertemu beliau dan beliau dalam keadaan baik tapi perlu menjalani rawatan susulan.

“Beliau mungkin perlu jalani rawatan kemoterapi. Tempoh rawatan untuk jenis penyakit begini adalah panjang,” katanya.

Dr Mahathir bercakap pada sidang media selepas mesyuarat dengan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di ibu pejabat parti itu, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Muhyiddin mengambil cuti sejak 12 Julai bagi menjalani pembedahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjalani pembedahan di Singapura baru-baru ini bagi membuang ketumbuhan di pankreas yang dikesan pada peringkat awal.

Beliau dibenarkan keluar dari Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada Selasa lalu.

Muhyiddin dijangka kembali bertugas pada bulan ini dan Dr Mahathir sedang memangku jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 3:41 PM