TIDAK menggunakan alat keselamatan dipercayai punca seorang pekerja kontrak maut apabila terjatuh ke saluran tangki septik di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian 12 tengah hari itu, anggota Polis Bantuan LTAS dimaklumkan lelaki warga Indonesia lemas di kawasan Gate 1 lapangan terbang itu.

“Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis menjalankan siasatan di lokasi yang juga saluran tangki septik sedalam kira-kira 10 meter.

“Kami dapati mangsa berada di dalam saluran itu dan tidak sedarkan diri, sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra untuk mengeluarkan mangsa.

“Pasukan bomba tiba jam 12.15 tengah hari dan mayat mangsa dikeluarkan 12.50 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan perubatan tiba di tempat kejadian pada 12.20 dan mengesahkan kematian mangsa lima minit selepas mayat dikeluarkan.

Katanya, mangsa dikenali Abdul Basit, 32, warga Indonesia yang bekerja kontrak di sini hampir dua tahun lalu.

“Syarikat itu mempunyai kontrak menyelenggara tangki kumbahan namun sebelum ini mangsa hanya bekerja membersihkan jalan.

“Ini kali pertama mangsa membersihkan saluran tangki septik dan kami dapati, dia tidak menggunakan peralatan keselamatan yang mungkin menyebabkannya terdedah kepada gas ammonia serta metana sebelum tidak sedarkan diri.

“Difahamkan, mangsa sempat meminta bantuan dua rakannya dan mereka sempat menarik mangsa hampir ke permukaan malangnya genggaman mereka terlepas kerana kedua-duanya hampir pengsan akibat terhidu gas berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa terjatuh ke dalam saluran sebelum salah seorang rakan mangsa yang juga pemandu lori meminta bantuan polis bantuan LTAS manakala seorang lagi tidak sedarkan diri.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini untuk bedah siasat.

Dzulkhairi berkata, rakan mangsa berusia 40 tahun menerima rawatan di hospital sama kerana tidak sedarkan diri dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Berita berkaitan:

Ajal dalam lubang kumbahan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 12:10 AM