KETUA Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Seladang, Idham Sahiron bersama dengan Seladang jantan bernama " NINO" di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Seladang, Jenderak Selatan, Kuala Krau. FOTO/NAZIRUL ROSELAN
Nazirul Roselan

“SEJAK kecil lagi saya selalu datang ke sini (Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Seladang di FELDA Jenderak Selatan, Kuala Krau) untuk tengok seladang, akhirnya saya turut bekerja di sini untuk menjaga haiwan itu,” kata Zulfahami Kamaruddin, 43.

Zulfahami antara Pembantu Awam Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang ditugaskan di Unit Pengurusan Seladang di PKHL sejak 20 tahun lalu.

Katanya, kedudukan rumahnya bersebelahan pusat berkenaan membolehkan dia melihat haiwan itu lebih dekat hampir setiap hari selepas pulang dari sekolah.

“Saya suka tengok seladang kerana ia haiwan unik, sekarang saya pula bekerja di sini melihat, menjaga dan menjinakkannya malah bergurau dengan seladang,” katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, seladang jantan bernama ‘Nino’ dan seladang betina bernama ‘Awani’ dua haiwan di bawah jagaannya selepas dilahirkan di pusat itu pada 2002 dan ia kini menjadi antara induk untuk pembiakan.

“Saya menjinakkannya sejak kecil lagi, sudah menjadi perkara biasa disondol Nino serta Awani kerana itu hanya gurauan bagi haiwan itu tetapi orang luar tengok mungkin ganas.

“Seladang manja bukan dengan semua orang dan hanya dengan orang tertentu saja bergantung pada cara belaian, setakat ini saya belum lagi cedera serius sepanjang menjaganya di pusat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zulfahami berkata, seladang di situ akan diberikan makanan iaitu daun mengkirai serta rumput pada sebelah pagi manakala dedak pada petang dan beratnya boleh mencecah hingga 100 kilogram (kg).

Katanya, kerjaya sebagai penjaga seladang pengalaman bermakna dan dia sebenarnya tidak pernah terfikir bergelumang dalam dunia haiwan liar yang kian pupus di negara ini.

“Pelbagai pengalaman saya hadapi dan tugas saya bukan hanya di sini, tetapi turut berada di dalam hutan dalam proses pencarian spesies ini, ia sukar hendak ditemui kerana bilangannya semakin berkurangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua PKHL Muhammad Idham Sahiron berkata, objektif pusat itu untuk meningkatkan populasi haiwan berkenaan dengan menjalankan pembiakan dalam kurungan selain dipindahkan ke lokasi lain bagi tujuan pemeliharaan.

“Ia semakin berkurangan kerana menjadi buruan pemburu haram yang menganggapnya sebagai satu kebanggaan atau piala apabila berjaya mendapatkannya, bukan dagingnya menjadi pilihan tetapi kepala serta tanduk untuk dijadikan perhiasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 10:01 AM