SYED Saleh berucap di perhimpunan bersama petugas TH bagi memberi kata semangat menjelang hari wukuf dan ibadat Masyair.
Tuan Asri Tuan Hussein

MAKKAH: “Anda semua beruntung kerana dipilih Allah untuk berkhidmat di sini. Siapalah kita untuk tidak memberikan yang terbaik kepada mereka yang digelar tetamu Allah. Jadi, berikan khidmat anda dengan ikhlas semata-mata kerana Allah.”

Itu antara kata-kata semangat ditiupkan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman kepada petugas Tabung Haji (TH) dalam perhimpunan di pejabat operasi TH di Hotel Abraj Al-Janadriyah, di sini.

Perhimpunan dihadiri lebih 200 orang itu bertujuan memastikan momentum kerja setiap petugas TH kekal pada tahap terbaik menjelang fasa paling penting iaitu ibadat Masyair bermula dengan wukuf di Arafah pada 20 Ogos depan.

Syed Saleh berkata, kebanyakan petugas sudah berada di tanah suci untuk tempoh masa 50 hari dan perhimpunan itu penting untuk meniup kembali semangat mereka supaya kekal memberi khidmat pada tahap paling tinggi kepada jemaah haji.

“Kita cuma ada sembilan hari lagi sebelum jemaah bergerak ke Arafah iaitu kemuncak ibadat haji. Jadi, perhimpunan ini juga bertujuan memberi ingatan kepada petugas untuk memberi yang terbaik biarpun dalam keadaan mencabar,” katanya.

Beliau turut menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya mendapatkan rehat secukupnya dan mula menyimpan tenaga menjelang ibadat Masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina yang dianggap fasa paling mencabar dalam perjalanan ibadat haji.

Menurutnya, ibadat Masyair menuntut pengorbanan besar daripada jemaah dan memerlukan persiapan daripada segi fizikal dan mental yang begitu tinggi.

“Saya juga juga menasihatkan jemaah membawa barang secukupnya saja seperti yang disarankan TH dan mengelakkan membawa barangan berlebihan berikutan ruang khemah yang terhad di Arafah dan Mina.

“Keluasan khemah di Arafah dan Mina akan menyulitkan jemaah sekiranya mereka membawa barang berlebihan,” katanya.

Syed Saleh juga mengingatkan jemaah agar mematuhi jadual ditetapkan TH dan muassasah terutamanya berkaitan dengan waktu melontar jamrah pada hari-hari tasyrik. “Pihak muassasah menyediakan jadual untuk melontar bagi setiap negara termasuk Malaysia. Kita harus mematuhi jadual itu supaya tidak terjadi kepadatan yang melampau ketika melontar yang boleh membawa kepada rempuhan dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, setakat ini 82 peratus daripada 30,200 jemaah haji Malaysia sudah berada di Makkah dan tiada lagi jemaah berada di Madinah.

Baki penerbangan membawa jemaah haji akan terus memasuki Makkah melalui Jeddah sehingga 15 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 12:48 PM