DRAMATIS Nurin meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas di rumahnya, hari ini. FOTO Ihsan Instagram Eoon Shuhaini
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“KAMI sekeluarga terkejut dengan pemergian arwah emak kerana selama ini emak sihat dan tidak pernah menghidap sebarang penyakit.

“Cuma adik (Nur Amira) beritahu emak hanya mengadu penat dan sesak nafas sebelum menghembuskan nafas terakhir, pagi tadi,” kata Muhd Affendi Alias, 28, yang juga anak ketiga pelakon drama, Nur Amisah Abdullah, 52.

Allahyarham Nur Amisah atau Nurin Misha meninggal dunia kerana sesak nafas di kediamannya di Taman Batu Permai, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, jam 9.30 pagi hari ini.

Menurut Muhd Affendi, kali terakhir dia bertemu ibunya pada Jumaat lalu di kediaman keluarganya.

“Saya juga tidak melihat sebarang perubahan sikap emak kerana dia melayan kami seperti biasa saja di rumah,” katanya.

Bagaimanapun, kata Muhd Affendi, arwah ibunya tidak bersendirian kerana ada ahli keluarga di sisi ketika dia menghembuskan nafas terakhirnya di rumah.

“Mujur dua abang dan adik ada di rumah ketika itu. Buat masa ini, semua ahli keluarga berkumpul di rumah untuk menguruskan jenazah.

“Insya-Allah, jenazah arwah emak akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bangko, Jalan Kuching selepas solat Asar hari ini,” katanya.

Allahyarham meninggalkan suami, Alias Ariffin dan lima anak iaitu Muhd Noor Arif, 32, Muhd Razali, 30, Muhd Affendi, 28, Nur Amira, 25 dan Nuraleeya Maisara, 15.

Sepanjang hayatnya, arwah banyak berlakon dalam drama tempatan seperti Cinta Tiada Ganti dan terbaru Arafah yang disiarkan di TV3, malam semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 2:25 PM