Shahrinnahar Latib


SINDIKET penipuan Macau Scam didapati membuat kelas untuk mengajar ahli mereka melakukan penyamaran sebagai pihak berkuasa ketika melakukan penipuan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, keadaan itu menyebabkan mangsa yang dihubungi sindiket itu percaya mereka menghadapi masalah dengan pihak berkuasa.

“Sindiket itu memang pandai berlakon seperti pihak berkuasa sebenar, mereka boleh menjadi polis, kastam dan pelbagai lagi agensi penguatkuasaan asalkan mendapat keuntungan.

“Saya percaya mereka ini ada buat kelas untuk ahli sindiket supaya dapat menyamar seakan-akan pihak berkuasa sehingga meyakinkan mangsa yang dihubungi,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, antara alasan digunakan ketika menipu ialah dakwaan kononnya identiti mangsa digunakan penjenayah dalam pinjaman bank sebelum talian disambungkan ke Bank Negara Malaysia (BNM).

“Suspek turut menyamar sebagai pegawai polis dan memaklumkan anak mangsa ditangkap kerana terbabit dalam kes dadah sebelum diminta membuat bayaran untuk menyelesaikan kes berkenaan.

“Orang ramai yang mengesyaki sesuatu sebaik menerima panggilan tidak dikenali diminta menghubungi polis atau pihak berkaitan supaya tidak ditipu,” katanya.

Mengenai sindiket ‘Love Scam’ pula, Mohd Wazir berkata, kebanyakan mangsa adalah individu kesepian atau keseorangan yang ingin mencari teman hidup.

“Sindiket ini pandai mencari, selalu menjadi mangsa adalah wanita yang mudah ditipu sindiket dan tidak pernah mengambil tahu dunia luar, sudah banyak kali dilaporkan di media namun masih ada lagi tertipu,” katanya.

Katanya, masyarakat harus lebih bijak ketika melayari media sosial seperti Facebook, Instagram dan WeChat supaya mereka tidak menjadi mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 2:50 PM