GAMBAR hiasan

IKHTIAR bapa memanjat pokok bagi meninjau permukaan air berjaya menemukan mayat anaknya yang lemas di sungai berhampiran Boardwalk di Kampung Pengkalan Gelap, di Permaisuri, hari ini.

Mayat Muhammad Nor Hafiz Norizam, 12, ditemui bapanya itu, pada kira-kira jam 7 pagi, kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata, selepas ditemui, mayat murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana itu dibawa ke Hospital Setiu untuk dibedah siasat.

“Susulan penemuan mayat mangsa, operasi pencarian kanak-kanak itu ditamatkan,” katanya.

Pada kejadian jam 1.31 tengah hari semalam, kanak-kanak itu dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus di sungai berkenaan.

Ketika kejadian, mangsa pergi ke sungai berkenaan bersama tiga rakannya untuk mandi dan mencari lokan.

Selesai mandi, mereka mahu kembali ke daratan, namun secara tiba-tiba dihanyutkan arus deras.

Mereka berpaut antara satu sama lain, namun tangan mangsa terlepas dari pautan rakan sebelum dibawa arus.

Dua kanak-kanak diselamatkan beberapa nelayan, manakala seorang lagi berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 3:52 PM