HAIKAL memadam kebakaran bersama anggota bomba menerusi program 'Make A Wish' di BBP Jalan Perak, Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong.
Hadzlihady Hassan


“SAYA teringin nak jadi anggota bomba sebab boleh selamatkan orang,” kata Nor Faris Haikal Mohd Norhisyam, 8, kanak-kanak menghidap tumor otak yang diberi kesempatan menyertai pasukan beruniform itu di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Georgetown, semalam.

Impian kanak-kanak terbabit dapat direalisasikan menerusi program ‘Make-A-Wish’ dijalankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Make-A-Wish Malaysia dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.

Lengkap berpakaian seragam anggota penyelamat itu, kanak-kanak yang lebih dikenali sebagai Haikal dalam kalangan ahli keluarga itu ternyata begitu teruja apabila dibawa menaiki jentera bomba selain berpeluang memadam kebakaran.

Walaupun pada mulanya kelihatan agak gementar, senyuman puas jelas terpancar di wajah Haikal apabila impian itu dapat dilaksanakan dengan tunjuk ajar anggota bomba.

Sementara itu, bapa kanak-kanak terbabit, Mohd Norhisyam Ridzuan, 31, berkata, anak sulung daripada empat beradik itu memang berminat untuk menjadi anggota bomba sejak usianya empat tahun.

“Sejak kecil, dia sudah menunjukkan minatnya itu kerana setiap kali melihat jentera atau melintasi pejabat bomba, Haikal akan begitu teruja.

“Impian anak akhirnya tercapai dan saya mengucap ribuan terima kasih kepada Make-A-Wish Malaysia dan bomba kerana memberi peluang sangat bermakna kepada Haikal,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, Haikal seorang anak sangat periang dan lincah, namun dia mula tidak sihat dan beratnya susut selain kerap demam sebelum disahkan menghidap tumor otak pada Oktober tahun lalu.

Katanya, Haikal kemudian menjalani pembedahan membuang tumor di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan kini sedang mendapatkan rawatan kimoterapi.

“Kami sekeluarga bersyukur kerana keadaan Haikal semakin bertambah baik dan dia memang memerlukan sokongan untuk menaikkan lagi semangatnya bagi menghadapi kehidupan mendatang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Make-A-Wish Malaysia, Irene Tan berkata, program seumpama itu dilakukan bagi merealisasikan impain kanak-kanak terbabit untuk menjadi apa yang dimahukannya.

“Kami percaya kekuatan sebuah impian itu dapat mengubah kehidupan terutama buat kanak-kanak dan ia satu pengalaman tidak akan dilupakan mereka sekiranya dapat memiliki apa yang diidamkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 12:51 AM