NORFAZILAH dan suami, Rosmizan bermain bersama anaknya, Muhammad Daniel Hakim (kanan) dan Muhammad Danish Haikal (kiri) yang menghidap penyakit Cerebral Palsy (CP) dan sawan tarik. Foto NSTP/AZHAR RAMLI
Muhammad Mustakim Ramli


SUDAH jatuh ditimpa tangga. Itu nasib yang menimpa Norfazilah Abdullah yang sebelum ini terpaksa menjaga dua anak menghidap cerebral palsy dan kini terpaksa pula menjaga suami yang diserang penyakit misteri.

Ujian yang menimpa ibu berusia 31 tahun itu amat berat memandangkan sebelum ini dia dan suami, Rosmizan Ab Rahim, 36, bersama-sama menjaga Muhammad Danish Haikal, 10 dan Muhammad Daniel Hakim, 3, tetapi kini tanggungjawabnya bertambah kerana perlu menjaga ketiga-tiga mereka.

"Suami sakit sebelum bulan puasa lagi, badannya kerap panas dan membengkak. Keadaannya bertambah teruk beberapa hari sebelum Aidilfitri lalu sehingga dia perlu imasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

"Doktor memaklumkan suami disyaki menghidap penyakit kencing tikus, namun selepas keluar hospital dan masuk pula ke wad baru-baru ini, kami dimaklumkan dia bebas dari kencing tikus sebaliknya berlaku masalah darah putih, darah merah dan garam kurang di dalam badannya," katanya ketika ditemui di HTF, hari ini.

Norfazilah berkata, dia juga turut membawa suaminya menjalani rawatan tradisional di sekitar Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak bagi menyembuhkan penyakitnya.

Katanya, keadaan kesihatan suaminya itu menyebabkan mereka sekeluarga hilang punca pendapatan kerana Rosmizan kini tidak boleh bekerja.

"Suami sebelum ini hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan. Saya pula sukar bekerja kerana keadaan dua anak yang kerap mengalami sawan tarik sehingga belasan kali dalam tempoh sehari.

"Alhamdulillah bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM700 sebulan bagi dua anak serta sumbangan orang ramai dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dapat meringankan beban kewangan kami sekeluarga," katanya.

Harian Metro pada 9 Februari lalu, pernah melaporkan mengenai dua anak Norfazilah, Muhammad Danish Haikal yang dipanggil along dan Muhammad Daniel Hakim, 3, yang disapa dengan panggilan adik yang menghidap cerebral palsy dan sawan tarik.

Kedua-dua anaknya dikesan menghidap cerebral palsy pada usia empat dan lima bulan di mana sebelum itu mereka normal dalam kandungan dan ketika dilahirkan.

Mereka akan mengalami sawan tarik belasan kali sehari dan ada masanya sehingga 25 kali sehari, di mana tempoh tarik itu tidak lama antara dua hingga tiga minit, sebelum selang 15 minit kemudian ia akan berlaku semula.

Berita berkaitan

Jaga anak syurga sampai akhir hayat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 12:12 PM