MANGSA ribut, Rusnani Harun hanya mampu berdoa ketika ribut melanda rumahnya di Kampung Kuin Pasir dalam kejadian puting beliung di Bachok. Foto STR/NOR AMALINA ALIAS
MANGSA ribut, Rusnani Harun hanya mampu berdoa ketika ribut melanda rumahnya di Kampung Kuin Pasir dalam kejadian puting beliung di Bachok. Foto STR/NOR AMALINA ALIAS
Nor Amalina Alias


“PERTAMA kali dalam hidup saya lihat pusaran angin besar berwarna putih menyebabkan saya terkejut sampai tak mampu bergerak,” kata Rusnani Harun, 61, saksi kejadian ribut besar di Bachok, petang semalam.

Kejadian ribut bersama puting beliung jam 5 petang itu membadai 60 rumah membabitkan lima antaranya Kampung Jelawat, Kampung Cabang Tiga Bator, Kampung Kuin Pasir, Kampung Seneng dan Kampung Tangok.

Rusnani berkata, kejadian berlaku terlalu pantas ketika dia mahu ke bilik air sebelum ribut melanda.

Menurutnya, dia melihat sendiri pusaran berwarna putih melintasi rumah penduduk sehingga menerbangkan bumbung dan turut menumbangkan beberapa batang pokok di sekitar rumahnya.

Katanya, ketika kejadian hujan renyai sebelum secara tiba-tiba puting beliung melalui kawasan rumahnya dalam tempoh 15 minit sebelum reda.

“Saya hanya mampu melaung Allah, Allah dan tak mampu bergerak kerana terlalu terkejut sebelum anak, Abidatul Husna Mat Ludin, 26, membawa saya keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuin Pasir, Bachok, hari ini.

Rusnani antara 60 keluarga yang menerima sumbangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri Mumtaz Md Nawi hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat Abd Azizz Ab Kadir dan Ketua Jajahan Bachok Nik Mohamed Noor Nik Ishak.

Seorang lagi penduduk, Abdul Muin Harun, 62, berkata anak perempuannya Nor Asyikin, 25, turut trauma apabila melihat sendiri puting beliung yang berlaku di depan matanya.

Katanya, ketika kejadian anak perempuannya berada di hadapan pintu rumah mereka bersama kakak ipar Abdul Muin bernama Nor sebelum puting beliung melanda.

“Anak saya memaklumkan dia melihat angin sangat kuat hingga menumbangkan pokok besar di hadapan rumah kami, malah bumbung rumah juga rosak teruk.

“Dia (Nor Asyikin) kini berada di rumah di Kampung Bator dan masih dalam keadaan trauma,” katanya yang tinggal di kampung itu sejak lebih 30 tahun lalu.

Sementara itu, Mumtaz berkata, buat permulaan kerajaan negeri memberi bantuan RM20,000 dan bekalan asas kepada penduduk yang terbabit dalam ribut bagi membaikpulih kediaman mereka.

Katanya, bantuan secara terus itu dilaksanakan dengan mengumpul 30 ke 40 tukang rumah dengan tempoh dua ke tiga hari dibuat bagi membaiki rumah mangsa supaya mereka dapat tinggal di kediaman masing-masing.

“Cuma biasanya laluan angin ini bila sudah terjadi sekali, kita bimbang berlaku lagi. Jadi sebagai permulaan, kita tumpu pada kerja-kerja pembersihan dan baiki rumah.

“Saya berharap penduduk berhati-hati dan cari tempat berlindung bagi keselamatan diri masing-masing. Kerja-kerja baik pulih akan dilaksanakan segera bermula hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 12:22 PM
Digital NSTP Subscribe