Ekhwan Haque Fazlul Haque

MAHKAMAH Rayuan, hari ini menetapkan 18 Oktober depan untuk pendengaran rayuan kes pembunuhan seorang pegawai bank di Sibu, enam tahun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas seorang daripada tiga panel Hakim iaitu Ravinthiran N Paramaguru menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Dua lagi panel Hakim iaitu Abang Iskandar Abang Hashim dan Harmindar Singh Dhaliwal bersetuju dengan keputusan itu.

Ling Hang Tsyr, 37, didakwa bersubahat dalam pembunuhan suaminya, Wong Jing Kui, 31, di rumah mereka di Jalan Ulu Sungai Merah, Sibu, jam 1.30 pagi, 14 Jun 2012.

Keputusan menarik diri daripada panel hakim berkenaan dibuat kerana Ravinthiran turut terbabit dalam pendengaran membabitkan kes penjagaan anak tertuduh.

“Saya menarik diri daripada menjadi panel rayuan kerana turut terbabit dalam kes penjagaan anak perayu,” katanya, hari ini.


PEGAWAI Jabatan Penjara Malaysia mengiringi Hang Tsyr untuk rayuan kes bunuh suaminya di Mahkamah Rayuan di Kuching. FOTO Jannah Kho

Abang Iskandar kemudian menetapkan 18 Oktober ini sebagai tarikh untuk mendengar rayuan berkenaan.

Sementara itu, peguam tertuduh Roger Chin berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap keputusan terbabit.

Mahkamah Tinggi Sibu Oktober tahun lalu menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Hang Tsyr selepas didapati bersalah bersubahat membunuh suaminya.

Kerani bank bahagian pemulihan kredit itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan bersama teman lelakinya, Tiong King Guan, 31.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 12:33 PM