TERTUDUH (kanan) mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan terhadap bayi perempuan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


PENGASUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan mengakibatkan kecederaan terhadap bayi perempuan sehingga menyebabkan mangsa patah peha kiri.

Tertuduh, Zuraida Mat Rani, 30, dari Marang mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 31 1 (a) Akta Kanak-kanak 2001 dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan cuai menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa yang ketika kejadian berusia tujuh bulan di sebuah rumah di Jalan Pantai, Kampung Masjid Haji Said, Seberang Marang, Marang, jam 11.45 pagi pada 13 April 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh menganggu keluarga mangsa bagi sebarang tujuan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi, manakala tertuduh diwakili peguam Mazri Mohamed.

Sementara peguam Mohd Hayyatuddin Muhamad dilantik ahli keluarga mangsa sebagai peguam pemerhati.

Sebelum ini, kejadian malang menimpa bayi perempuan itu disedari ibu mangsa selepas melihat kaki anaknya terkehel sebelum membawa mangsa ke hospital untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan mendapati peha kiri anaknya patah sebelum laporan polis dibuat dan membawa kepada penahanan tertuduh.

Selain mengasuh mangsa di rumahnya, tertuduh turut mengasuh abang mangsa yang ketika kejadian berusia setahun dua bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 5:47 PM