Nurul Izzah bangun mencelah perbahasan Ahmad Maslan di Dewan Rakyat hari ini. FOTO Ihsan BNPPortal
Fairul Asmaini Mohd Pilus

“SAYA harap ayah Yang Berhormat Permatang Pauh (Nurul Izzah Anwar) jadi Perdana Menteri tak lama lagi.”

Datuk Ahmad Maslan (BN-UMNO Pontian) menggamatkan sesi perbahasan di Dewan Rakyat, apabila ‘meminta’ Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ketika menjawab celahan Nurul Izzah (PH-PKR Permatang Pauh).

Ahmad yang membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Peruntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018, menyentuh isu elaun bantuan untuk golongan petani sebelum memberi laluan Nurul Izzah untuk mencelah.

Nurul Izzah antara lain mencadangkan supaya kerajaan mengembalikan Lembaga Padi Beras Nasional (LPN) untuk menyelesaikan masalah pesawah di negara ini yang bukan hanya membawa keuntungan tetapi juga membela nasib petani.

Ahmad kemudian meminta pandangan Nurul Izzah itu dimasukkan sebagai sebahagian daripada perbahasannya lalu berkata: “Saya harap ayah Yang Berhormat Permatang Pauh akan menjadi Perdana Menteri tidak lama lagi supaya perkara itu (berkaitan bantuan dan elaun kepada petani) dapat disegerakan,” katanya lalu menggamatkan Dewan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 10:40 PM