DR Wan Mansor (kanan) menunjukkan najis tikus yang diambil sebagai bahan bukti semasa operasi bersepadu Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang di Butterworth dan Kepala Batas, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Nur Izzati Mohamad


EMPAT kilang memproses pelbagai produk makanan dan sebuah kedai ikan bakar popular di Kepala Batas diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, selepas didapati tahap kebersihan tidak memuaskan.

Kelima-lima premis berkenaan diarah tutup selama dua minggu bermula hari ini bagi tujuan kerja pembersihan.

Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Mansor Hamzah berkata, arahan penutupan itu dibuat selepas hasil pemeriksaan mendapati terdapat najis tikus dan lipas berhampiran bahan mentah menyebabkan premis berkenaan tercemar.

“Ini adalah operasi kali ketiga yang kami jalankan dalam usaha mengekalkan jolokan Pulau Pinang sebagai destinasi syurga makanan.

“Kami mahu memastikan setiap pengendali makanan dapat menyediakan makanan sihat, sedap dan bersih kepada pengguna,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan di Wisma Persekutuan, Kepala Batas, hari ini.

Beliau berkata, empat kilang dan kedai makanan itu ditutup selaras dengan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Katanya, selain operasi makanan, Jabatan Kesihatan turut menumpukan operasi pembiakan nyamuk aedes dan merokok di kawasan larangan.

“Dalam operasi bersepadu bermula sejak 8.30 pagi itu, kami turut mengarahkan sebuah premis pengumpulan plastik kitar semula ditutup selama 14 hari kerana disyaki menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Selain premis itu yang turut dikenakan kompaun, sebuah lagi premis jenis sama dikenakan tindakan mahkamah kerana mengulangi kesalahan pembiakan nyamuk aedes kali kedua.

“Dalam ketiga-tiga operasi ini, kami bukan mahu memberi penekanan kepada kompaun mahupun hukuman, tetapi lebih kepada pendidikan apabila memaklumkan kepada pengusaha mengenai operasi bakal dijalankan terlebih dahulu, namun ada yang berdegil serta tidak mengendahkan maklumat awal itu,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Mansor berkata, pihaknya turut mengeluarkan 15 kompaun berjumlah RM3,750 bagi kesalahan merokok di kawasan larangan seperti pejabat kerajaan dan stesen pengangkutan awam dalam operasi itu.

Katanya, secara keseluruhannya kompaun berjumlah RM25,350 dikeluarkan sepanjang ketiga-tiga operasi itu.

Selain Jabatan Kesihatan, operasi itu disertai pegawai dan anggota Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membabitkan 257 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 11:42 PM